Pekerja kilang maut, dilanggar lari di Jalan Batu Kawa

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUCHING, 1 Jun: Seorang pekerja kilang maut akibat dilanggar sebuah kereta di Jalan Batu Kawa, sekitar awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 40 tahun berasal dari Kampung Sinar Budi, Batu Kawa.

Jelasnya, kemalangan berlaku di hadapan sebuah stesen minyak, di mana mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dilanggar lari sebuah kereta jenis Honda BR-V iaitu sekitar jam 11 malam.


Mangsa yang mengalami kecederaan parah ditinggalkan di lokasi kejadian dan motosikalnya turut dilarikan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Siasatan polis di lokasi kejadian menemui satu plat nombor kereta ST1899Y dipercayai kereta yang melanggar mangsa di lokasi kejadian.

Susulan itu juga, polis berjaya menemui motosikal mangsa yang ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Moyan.

Polis mohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Siasatan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily