Pekerja kapal MV Geos hilang ditemui mati

Operasi SAR di kapal MV Geos di perairan Kuala Baram.

MIRI, April 18: Seorang pekerja kapal MV Geos yang dilaporkan hilang selepas kapal tersebut terbakar semalam ditemui mati, hari ini.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohamad Saiful Ashnar, 31, dari Negeri Sembilan ditemui mati di dalam kapal tersebut pada pukul 1.45 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) DM13 Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Marina Miri menggunakan Bot Penggalang 23 untuk tindakan lanjut.


Katanya, mayat mangsa tiba di jeti tersebut pada pukul 3.05 petang.

“Dengan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ditamatkan pada pukul 3.10 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan malang menimpa seorang pekerja kapal minyak dan gas apabila dilaporkan hilang selepas kapal MV GEOS yang sedang belayar di perairan Kuala Baram di sini terbakar dalam satu kejadian awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu turut mengakibatkan dua pekerja cedera dan melecur, manakala 36 pekerja lain dilaporkan selamat.

APMM menerima satu isyarat kecemasan di perairan Kuala Baram pada pukul 3.16 pagi.

Pusat operasi APMM DM13 kemudian mengarahkan sebuah Bot Penggalang 23 bersama enam anggota untuk ke lokasi bagi mengenalpasti punca isyarat kecemasan berkenaan. — DayakDaily