Hari Bung Bratak akan diadakan Mei 1

Dato Peter Minos

KUCHING, April 18: Orang ramai diajak untuk mengunjungi Pusat Warisan Bung Bratak bagi memeriahkan sambutan Hari Bung Bratak yang akan diadakan pada Mei 1 nanti, sempena cuti umum Hari Pekerja.

Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak (PWBB), Datuk Peter Minos berkata sambutan tersebut akan bermula jam 9.30 pagi dengan pelbagai aktiviti telah dirancang seperti persembahan kebudayaan Bidayuh oleh masyarakat Bidayuh dari Lundu, Bau dan Penrissen.

Selain itu, katanya pengunjung juga boleh membeli pelbagai cenderahati dan kraftangan termasuk menikmati pelbagai juadah makanan tradisional Bidayuh yang akan dijual sempena hari tersebut.


“Saya amat mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk bersama-sama datang memeriahkan dan menyerikan lagi sambutan ini sambil menikmati pemandangan indah dan udara segar di Bung Bratak,” katanya.

Bung Bratak adalah terletak di penempatan purba Bidayuh-Jagoi-Bratak pada ketinggian 1,000 kaki dari Kampung Tembawang Sauh di Bau.

Untuk sampai ke tapak sambutan, pengunjung perlu berjalan kaki mendaki bukit lebih kurang setengah jam atau boleh menggunakan pacuan empat roda melalui jalan tanah yang dibina sebagai laluan kenderaan. — DayakDaily