Oleh Dean Adam
SIBU, Okt 29: Malang menimpa seorang pekerja kapal tunda apabila dia menemui ajal selepas tiba-tiba jatuh pengsan di jeti Rantau Panjang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Kalea Marcus, 65.
Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Kepulauan Solomon sebelum kejadian ada mengadu sakit dada dan sukar bernafas.
Katanya, sebelum itu juga mangsa ada dibawa ke klinik untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
“Namun, semasa sedang bekerja semalam mangsa dikatakan tiba-tiba rebah dan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Rakan sekerja mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada majikan mereka sebelum menghubungi pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan awal polis di lokasi mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dikesan.
“Buat masa ini kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. ā DayakDaily