Dua wanita sesat ditemui selamat

Pasukan bomba menemui dua wanita sesat dalam keadaan selamat.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Okt 29: Dua wanita yang dikhuatiri sesat semasa melakukan aktiviti mendaki di Taman Tumbina di sini ditemui selamat, malam tadi.

Kedua-dua wanita berusia 26 dan 27 tahun itu dijumpai selamat oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira pukul 8.10 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 7.39 malam.

Katanya, sejurus itu, sepasukan tujuh anggota bomba diarahkan ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Operasi mencari dan menyelamat itu dimudahkan apabila kedua-dua mangsa boleh dihubungi dengan talian telefon dan menghantar koordinat melalui aplikasi WhatsApp.

“Semasa ditemui, kedua-dua wanita berkenaan dalam keadaan selamat dan tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, berdasarkan maklumat, kedua-dua mereka gagal mencari jalan keluar kerana keadaan gelap.

“Operasi ditamatkan sejurus kedua-dua mangsa dibawa keluar,” katanya. — DayakDaily