Pekerja am lesap RM6,000 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 2: Seorang pekerja am kerugian RM6,000 apabila terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Kejadian menimpa lelaki berusia 27 tahun itu dilaporkan berlaku antara November 22 hingga 27 lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon dari nombor seorang wanita kononnya anggota polis.

Katanya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Haswani dari Balai Polis Melaka kemudian memaklumkan mangsa ada terlibat dengan kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 juta.

“Jika mangsa tidak bekerjasama dengan pihak polis Melaka dalam masa 2 jam, waran tangkap terhadap mangsa akan dikeluarkan serta merta.

“Tidak cukup itu, suspek juga memberitahu semua akaun bank mangsa akan dibekukan dalam masa 2 tahun 6 bulan dan direman selama 45 hari,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa juga diarahkan untuk menyediakan wang jaminan sebanyak RM10,000 untuk diikat jamin selain tidak ditahan reman selama 45 hari.

Katanya, akibat panik, mangsa kemudian membuat dua kali transaksi pembayaran sebanyak RM6,000 ke dalam akaun suspek.

“Mangsa yang sedar tertipu selepas gagal menghubungi suspek setelah membuat transaksi pembayaran kemudian membuat laporan polis,” katanya. — DayakDaily