Loji Air Tatau bakal memberi manfaat kepada 25,000 pengguna

Rina (duduk kanan) berbincang bersama kontraktor dan konsultan projek naiktaraf Loji Air Tatau, Bintulu.

BINTULU, Dis 2: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengadakan lawatan kerja ke tapak projek naiktaraf Loji Air Tatau di sini semalam.

Menurut Rina, loji yang siap dinaiktaraf itu nanti bakal memanfaatkan lebih 25,000 penduduk di Tatau dan di sekitar Jalan Bintulu-Tatau.

“Loji Air Tatau yang berkapasiti membekalkan empat juta liter air sehari itu seharusnya siap sepenuhnya pada September tahun ini, namun kini dalam peringkat 75 peratus pembinaannya,” katanya.

Dalam sesi lawatan kali ini, Rina turut melihat dengan lebih dekat perkembangan projek naiktaraf serta mengenalpasti isu-isu yang telah menyebabkan kelewatan berlaku.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar projek tersebut disiapkan pada Januari 2019 agar dapat memberi manfaat kepada rakyat.


Rina juga telah mengadakan perbincangan bersama pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, pihak kontraktor dan konsultan yang terlibat dengan projek berkenaan.

Lawatan Rina turut diiringi oleh rombongan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. — DayakDaily