PEKEMA minta diskaun cukai jualan 50 peratus libatkan semua stok kenderaan sedia ada, Abang Khalid

Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki.
Advertisement

KUCHING, JUN 6: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak menyambut baik keperihatinan kerajaan dengan melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara(Penjana) dalam industri automotif.

Presidennya, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki menyifatkan teras ransangan ekonomi yang melibatkan pengenalan kepada insentif cukai pembelian kereta adalah tepat bagi menangani impak ekonomi ekoran pandemik Covid-19.

Namun katanya, PEKEMA begitu berharap sekiranya kerajaan dapat memberi diskaun sebanyak 50 peratus ke atas cukai jualan melibatkan semua stok kenderaan sedia ada.

Advertisement

“Apa yang menjadi kerisauan pihak pemain industri masa ini ialah bagaimana pula dengan stok kenderaan yang telahpun tiba sebelum 15 Jun 2020 dan masih lagi tidak terjual ekoran Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan kemerosotan ekonomi negara bermula pertengahan Mac lalu.

“Buat masa ini, hampir keseluruhan ahli PEKEMA berdepan masalah dengan lambakan stok-stok kenderaan yang telah diimport dan sampai di gudang sebelum 15 Jun 2020.

“Jika pengecualian ini turut merangkumi kenderaan-kenderaan ini, saya percaya ia akan dapat dijual dan sekaligus mengurangkan jumlah stok sedia ada dan seterusnya para ahli PEKEMA dapat mengimport semula stok-stok kenderaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, insentif melibatkan pengecualian pembayaran cukai jualan ke atas Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) iaitu sebanyak 100 peratus manakala 50 peratus pula bagi Kenderaan Import Sepenuhnya (CBU) melibatkan stok kenderaan import yang sampai di gudang bermula 15 Jun 2020 sehinggalah 31 Disember 2020.

Justeru tambah Khalid, diskaun sebanyak 50 peratus ke atas cukai jualan turut melibatkan semua stok kenderaan sedia ada dan tidak hanya tertakluk kepada kenderaan yang diimport dalam tempoh masa 15 Jun 2020 sehinggalah 31 Disember 2020 sahaja.

Beliau juga berharap Kerajaan dapat memperkenalkan Program Pengecualian Cukai yang lebih spesifik yang dapat memberi impak kepada perniagaan yang dijalankan seperti Insentif Pengurangan Duti Import dan Eksais.

Katanya, jika duti ini dapat dikurangkan, maka harga kenderaan yang lebih berpatutan dapat ditawarkan kepada pembeli-pembeli kereta seterusnya merancakkan semula industri automotif tempatan.DayakDaily

Advertisement