Pekan Opar dalam perancangan dan pembinaan — Adun Opar

Billy ketika ditemui di Lundu.

KUCHING, 29 Mei: Kerajaan sedang mencari tapak sesuai bagi mewujudkan Pekan Opar yang bakal dilengkapi dengan pelbagai prasarana, kata Adun Opar Billy Sujang.

Menurut beliau, pembangunan pekan tersebut adalah keutamaan dan sering disebut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Premier mahukan bandar baru untuk Opar kerana sekarang kawasan ini tiada pekan, tiada bandar.


“Kita hendak wujudkan pusat khidmat pun tiada tempat, jadi premier mahu kita kenalpasti kawasan yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidlifitri 2022 Kampung Temaga Melayu di Lundu hari ini.

Tambah Billy, pembangunan bandar baru Opar itu juga merupakan manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihanraya negeri yang lepas.

Katanya, langkah pertama setelah cuti perayaan Hari Gawai nanti adalah untuk mengenalpasti kawasan yang sesuai.

“Sebab apabila kita membangunkan bandar baru, kita tidak mahu nanti ia menjadi gajah putih.

“Kita tak mahu nanti apabila disediakan prasarana, tiada yang mahu berniaga. Maka kita cari kawasan yang sesuai dimana bila kita bina bangunan, ada orang buat busines dan itulah tujuan kita,” tambah Billy.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pembangunan bandar baru Opar juga sebahagian daripada pembesaran Pekan Lundu berikutan kesesakan yang berlaku khususnya di hujung minggu.

“Pembangunan bandar baru Opar nanti meliputi pembinaan blok pentadbiran, lot komersil termasuk pasar sayur dan basah, stesen petrol dan blok institut pengajian tinggi,” katanya.— DayakDaily