‘Sovereign fund’ pacu Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 — Dr Sim

Dr Sim ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidlifitri 2022 Kampung Temaga Melayu di Lundu.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

LUNDU, 29 Mei: Dana kekayaan berdaulat (sovereign fund) yang bakal diwujudkan pada hujung tahun ini penting dalam memacu Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Menurut Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian, ia dapat dicapai sekiranya rakyat negeri ini terus bersatu padu dan bersama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).


“Kita ambil contoh negara Norway yang mewujudkan tabung yang sama pada tahun 1996 dengan simpanan hanya dua bilion kroner sahaja.

“Sekarang selepas 26 tahun, tabung milik Norway ini mencecah USD1.35 trilion.

“Populasi penduduk Norway ialah 5 juta, maka setiap seorang ada USD200,000,” katanya di Majlis Ramah Tamah Aidlifitri 2022 Kampung Temaga Melayu di Lundu hari ini.

Baru-baru ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan keputusan untuk mewujudkan dana berdaulat sendiri setelah kajian mengenainya dibuat.

Abang Johari yakin dana ini akan memberikan pendapatan yang baik kepada negeri setelah ekonomi berkembang dan pendapatan berkembang.

Beliau kagum dengan kejayaan Norway menguruskan dana kekayaan berdaulat negara itu, yang diiktiraf secara meluas serta diuruskan menerusi standard tadbir urus tertinggi sejak penubuhannya pada 1996.

Sarawak telah mengumumkan akan bekerjasama dengan Norway, dalam usaha ke arah memastikan kejayaan pembentukan dan pengurusan dana kekayaan berdaulat sendiri. — DayakDaily