This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 25 Jun: Seorang pejalan kaki maut selepas dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan di Batu 9 Jalan Matang semalam.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan mangsa yang berusia 29 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Katanya, mangsa semasa kejadian berjalan kaki pulang dari tempat kerjanya sekitar jam 6 petang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah iaitu menghala ke Batu 10 Jalan Matang.
“Semasa dalam perjalanan, mangsa dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padawan Insp. Mohd Azim di talian 011-36172665. — DayakDaily