Pejalan kaki maut dilanggar kereta di Serian

Siasatan dijalankan di lokasi kejadian.
Advertisement

SERIAN, 6 Mac: Seorang pejalan kaki maut akibat kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Alza di Kilometer 58 Jalan Kuching-Serian semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata lelaki, 45 tahun dan berasal dari Batu 37 Jalan Kuching-Serian ketika kejadian sedang melintas jalan sekitar jam 7.40 malam.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa dikatakan tiba-tiba berpatah balik ke tengah jalan raya semasa menyeberang jalan lalu dirempuh Perodua Alza tersebut.

Advertisement

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa pasukan perubatan dari Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. ā€• DayakDaily

Advertisement