Pejalan kaki maut digilis lori di Kuching

Mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian.

KUCHING, 21 Feb: Seorang pejalan kaki maut akibat kecederaan parah selepas digilis sebuah lori di Jalan Datuk Bandar Mustapha, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa merupakan seorang wanita berusia 58 tahun dan berasal dari Jalan King Kong, Batu Kawah, di sini.

Katanya, mangsa semasa kejadian sedang berjalan kaki menuju ke deretan kedai di tepi jalan raya tersebut.


“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan menuju ke deretan kedai dan digilis lori yang sedang mengundur untuk mengatur kedudukan masuk ke dalam bengkel.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk ujian Covid-19 sebelum bedah siasat.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily