Pejabat Kebajikan Kuching mencari waris kanak-kanak bernama Vincent

File photo for illustration purposes

KUCHING, Okt 12: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching (PKMB Kuching) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak bernama Vincent yang kini berusia tujuh tahun.

Menurut kenyataan yang diterima daripada PKMB Kuching, kanak-kanak tersebut diserahkan kepada Lai Lian Jin untuk dijaga sejak kanak-kanak tersebut berusia kurang daripada sebulan.

Vincent telah dilahirkan pada Februari 2011.


Manakala menurut penjaga Vincent, beliau telah berjumpa buat pertama kali secara kebetulan dengan ibu kanak-kanak tersebut yang hanya dikenali dengan nama Amoi di Hospital Umum Sarawak.

Menurutnya, pada ketika itu beliau menemani rakannya untuk pemeriksaan manakala ibu kepada Vincent pula datang untuk mengambil ubat.

Tujuan pengesanan  adalah untuk kebajikan kanak-kanak tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali ibu kandung Vincent diminta menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Suliana Jeryin di talian 082-507999 atau 082-507111 dengan kadar segera. — DayakDaily