Dua kanak-kanak hilang dihanyut arus, dijumpai mati

Dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang, dihanyutkan arus ketika mandi bersama keluarga di Sungai Semawang, berdekatan Rumah Ekaw di sini pada Selasa lalu ditemui mati pagi hari ini.

KAPIT, 2 Jun: Dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang, dihanyutkan arus ketika mandi bersama keluarga di Sungai Semawang, berdekatan Rumah Ekaw di sini pada Selasa lalu ditemui mati pagi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kedua-dua mangsa ditemui oleh orang awam di Sungai Batang Rajang sekitar jam 7.15 hingga 7.30 pagi tadi.

Katanya, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus bergerak ke lokasi di mana kedua-dua mangsa ditemui.


“Pada jam 9.56 pagi, komander operasi mengesahkan kedua-dua mangsa dijumpai Sungai Batang Rajang, di mana mangsa lelaki dijumpai 20 meter Rumah Ekaw (lokasi kejadian) oleh ahli keluarganya.

“Manakala mangsa perempuan dijumpai pada anggaran 20 meter dari Rumah Ekaw iaitu berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Embuau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa berusia 9 (lelaki) dan 10 (perempuan) tahun kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Selasa lalu, ketika kedua-dua mangsa sedang mandi manda bersama keluarga.

Kedua-dua mangsa dilaporkan telah hilang dibawa arus deras iaitu sekitar jam 5.42 petang.

Operasi SAR kedua-dua mangsa dilancarkan selepas itu dengan turut disertai penduduk kampung. — DayakDaily