Pegawai kesihatan rugi RM105,000 akibat terpedaya ‘Macau Scam’

PDRM logo.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 19: Seorang pegawai kesihatan rugi RM105,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘Macau Scam’.

Wanita berusia 45 tahun itu dilaporkan ditipu antara 15 Okt dan 17 Okt lalu, namun laporan polis diterima hanya dilakukan semalam.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata siasatan awal mendapati mangsa mendakwa menerima panggilan daripada nombor 042221522 dan memperkenalkan diri sebagai Madam Wong Shi Yii dari Mahkamah Pulau Pinang pada Okt 15 lepas.

Menurutnya, suspek kemudian memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai GST sebanyak RM51,000.

“Suspek seterusnya menyambungkan panggilan kepada seorang lelaki kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Lelaki berkenaan kemudian memaklumkan kepada mangsa yang akaun Maybank mangsa telah digunakan untuk urusan wang haram,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, panik dengan ugutan suspek, mangsa kemudian memasukkan wang sebanyak RM30,000 di Bank Islam Satok ke dalam akaun atas nama Tan Wei Kiong pada 16 Okt lepas.

Katanya, pada hari sama, mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM55,000 ke no akaun 06032023648524 milik Tan Wei Kiong kononnya untuk tujuan bayaran juruaudit.

“Manakala, pada 17 Okt lepas bertempat di Bank Islam Kota Semarahan mangsa seterusnya memasukkan wang sebanyak RM20,000 ke dalam akaun 12243020253513 milik Ab Sari Aduhakma juga kononnya untuk tujuan bayaran juruaudit.

“Mangsa yang akhirnya menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily

Advertisement