46 individu terlibat dalam jenayah dadah dan miliki senjata api haram dicekup

Sebahagian suspek yang diberkas polis.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Okt 19: Seramai 46 individu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan ditahan menerusi serbuan bersepadu di daerah itu dua hari lepas.

Operasi berkenaan telah disertai Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), AADK dan Imigresen melibatkan kekuatan seramai 34 orang pegawai dan 120 anggota.

Tumpuan operasi tersebut lebih menjurus kepada 11 kawasan utama di dalam daerah Lawas iaitu Be’kalalan, Long Semadoh, Sundar, Awat-Awat, Terusan, Jalan Lawas Terusan, Lawas Damit, Pekan Lawas, Jalan Punang, Merapok dan Kuala Lawas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif, berkata jumlah individu yang diberkas itu merupakan antara 62 orang yang ditangkap, manakala 21 orang dibebaskan kerana tiada kesalahan.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan itu terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah serta memiliki senjata api tanpa secara haram.

“Sasaran awal operasi ini adalah terhadap 54 orang yang ditakrifkan sebagai pengedar atau pengedar kecilan di sekitar daerah Lawas.

“Matlamat utama operasi yang dijalankan adalah untuk membanteras pengedar kecil-kecilan yang merupakan penggiat serta penyumbang utama aktiviti dadah di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu pasukan polis telah merampas seberat 4.49 gram dadah jenis syabu dalam operasi berkenaan. Anggaran rampasan dadah tersebut ialah sebanyak RM1,257.

Kelihatan senjata api yang dirampas polis.

“Selain itu, pasukan serbuan juga berjaya merampas masing-masing selaras senapang patah buatan sendiri, pistol angin, senapang angin dan enam butir peluru hidup 12 bore.

“Peratus kejayaan operasi yang dilaksanakan adalah pada kadar 85 peratus dan operasi ini juga dipercayai telah berjaya memutuskan jaringan bekalan dadah di daerah ini kira-kira 40 peratus,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Senjata Api 1960, Akta Penagih Dadah 1983 dan Akta Imigresen 1959/1963. — DayakDaily