Pegawai kawalan lesap wang RM19,500 akibat sindiket penipuan ‘Macau Scam’

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 10: Lagi kes melibatkan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ berlaku di Sarawak.

Kes terbaharu membabitkan seorang pegawai kawalan yang kerugian sebanyak RM19,500 seperti dilaporkan, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kes tersebut membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun.

Katanya, sebelum itu mangsa telah menerima panggilan telefon dari nombor 011-6742385820 dan dalam panggilan tersebut seorang lelaki memperkenalkan diri dari Mahkamah Melaka.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa ada perbicaraan di Mahkamah Melaka kerana mangsa terlibat dengan kes mahkamah dan ada perintah penangkapan dan perintah pembekuan aset-aset.

“Selepas itu mangsa telah diarahkan untuk membuat pemindahan aset dan membuat transaksi bank kononnya bagi menyelesaikan kes berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, suspek telah memberi dua nombor akaun Cimb Bank atas nama Zairul Amyziey dan Muhammad Zarifi kepada mangsa untuk memasukkan wang.

Katanya, mangsa yang panik serta takut kerana diugut akan ditangkap dan aset-aset serta akaun bank mangsa akan dibekukan kemudian memasukkan wang sebanyak RM16,000 ke dalam akaun Cimb Bank atas nama Muhammad Zarifi.

“Mangsa juga memasukkan wang sebanyak RM3,500 ke dalam akaun Cimb Bank atas nama Zairul Amyziey.

“Selepas merasakan dirinya tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily