Pegawai akaun lesap RM12,000 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 10: Seorang pegawai akaun terpaksa berputih mata apabila kerugian sebanyak RM12,000 selepas terperdaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Kejadian yang menimpa wanita berusia 30 tahun itu dilaporkan berlaku pada Januari 8 lepas, namun laporan hanya dibuat semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah dihubungi oleh seorang lelaki melalui nombor telefon 018-673229 yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis daripada Muar, Johor.

Katanya, lelaki tersebut kemudian memberitahu bahawa mangsa terlibat dengan kes langar lari di Muar, Johor di mana kereta disewa atas namanya dan kenderaan itu juga mengandungi dadah.

“Suspek seterusnya memberitahu mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram dan lelaki itu telah menunjukkan waran tangkap ke atas wanita berkenaan melalui WhatsApp.

“Mangsa kemudian diberitahu bahawa perlu membuat pembayaran sebanyak RM12,000 ke akaun Public Bank sebagai jaminan kepada Mahkamah Tinggi Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, pada hari yang sama, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM12,000 ke akaun yang diberikan lelaki itu.

Bagaimanapun katanya, selepas mangsa bercakap dengan pengurus tempat kerjaya berkaitan hal itu, dia kemudian terkejut diberitahu bahawa perkara tersebut adalah tidak betul.

“Kemudian mangsa membuat semakan di Bank OCBC jika terdapat akaun yang dibuka atas namanya, tetapi pihak bank mengesahkan bahawa tiada akaun yang dibuka atas nama beliau.

“Mangsa yang merasakan telah ditipu setelah membuat semakan dengan pihak Bank OCBC kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily