PdPR tidak membantu di pedalaman, syor pembelajaran bersemuka di kawasan hijau – PKR

Abun Sui Anyit

KUCHING, 5 Julai: Dengan liputan internet lemah di pedalaman, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak banyak membantu, kata Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.

Menurut Ketua Penerangnya Abun Sui Anyit, selain tidak membantu kaedah tersebut juga sangat membebankan ibu bapa.

Katanya, PKR Hulu Rajang mendapat aduan bahawa tugasan yang diberi oleh pihak sekolah melalui PdPR diminta dicetak.

“Ini sangat membebankan kerana rata-rata ibu bapa di pedalaman tidak mampu membeli pencetak, apa membeli lagi computer atau komputer riba.

“Bayangkan untuk mencetak kerja rumah murid–murid, ibu bapa perlu ke pekan berdekatan untuk mencetak dan ini mengambil masa hingga berminggu–minggu untuk dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abun yang juga Ketua Cabang PKR Hulu Rajang, ia semakin rumit dengan kekangan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pergerakan sepanjang PKP adalah terhad. Kesannya murid-murid tidak dapat menyiapkan kerja sekolah mereka,” tegas Abun.

Justeru, beliau menggesa pihak sekolah untuk menyediakan tugasan bercetak kepada murid-murid dengan menyediakan pencetak di sekolah dan ibu bapa boleh datang untuk mendapatkannya.

“Cadangan lain adalah bagi kawasan hijau Covid-19, sekolah secara bersemuka harus dibenarkan dengan SOP yang ketat.

“Pembelajaran secara bersemuka adalah terbaik terutamanya yang di pedalaman kerana liputan internetnya sangat lemah,” tambahnya  — DayakDaily