PDP: Manifesto BN Sarawak membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk membangunkan Sarawak

Tiong (kiri) ditemuduga media selepas majlis pelancaran Manifesto BN Sarawak 2018 di Ibupejabat PBB, Jalan Bako, di Kuching.

KUCHING, April 9: Parti Demokratik Progresif (PDP) menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan dapat menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri yang mahu membangunkan Sarawak.

Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing berkata manifesto BN Sarawak itu juga berbeza dengan manifesto PRU14 pembangkang yang hanya semata-mata mahu memancing undi dari penduduk negeri ini.

“Manifesto itu yang diumumkan Ketua Menteri tadi, menunjukkan kami tidak mahu mendapatkan undi dari penduduk Sarawak sahaja, tetapi kami benar-benar mahu membangunkan lagi Sarawak, melihat keperluan rakyat dan menambahbaik serta menaiktaraf banyak infrastruktur yang telah ketinggalan,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Manifesto BN Sarawak 2018 di Ibupejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melancarkan manifesto terbabit yang bertema “Transformasi Sarawak Melalui Ekonomi Digital,” dan mempunyai enam teras utama dan butirannya dicetak dalam buku dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan Cina.

Tiong berkata antara perkara menarik boleh dilihatnya dalam manifesto BN Sarawak terbabit ialah pengembalian sekolah menggunakan bahasa Inggeris setelah sekian lama sekolah terbabit telah dihapuskan di Sarawak.

“Sekarang kita mengembalikan sekolah itu, malahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyerahkan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan sekolah Inggeris di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menafikan yang kerajaan pusat tidak mahu mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) dari sekolah aliran Cina kerana ketika ini ramai pelajar Bumiputera belajar di sekolah terbabit termasuk di negeri ini. — DayakDaily