KUCHING, Jun 7: Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 adalah undang-undang di peringkat pusat yang tidak adil dan tidak wajar kepada Sarawak dan sepatutnya boleh dimansuhkan.
Penganalisa politik dan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Datuk Peter Minos berpendapat demikian kerana undang-undang itu telah merampas hak Sarawak untuk mengeksploitasi dan menikmati sumber alam semulajadinya sendiri.
“Tidak adil kepada Sarawak yang memerlukan wang dari minyak dan gasnya bagi mengejar tahap kemajuan yang sudah lebih jauh di Malaya. Tidak wajar juga kepada Sarawak kerana PDA tidak mengiktiraf dan menghargai hak Sarawak secara perundangan dan yang lainnya terhadap sumber alam semulajadinya sendiri,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Peter berkata sebarang undang-undang yang diwujudkan tetapi kemudian didapati tidak adil dan tidak wajar kepada pihak tertentu adalah boleh dimansuhkan dan tidak sepatutnya terus dihormati serta dipatuhi.
“Bagi Petronas berhasrat untuk terus mengunakan PDA untuk mengeksploit dan mengawal sumber minyak dan gas Sarawak, ini adalah tidak adil, tidak wajar, tiada tolak ansur, tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan tanpa dicabar,” katanya.
Beliau sehubungan itu meminta Sarawak untuk kekal bertegas mengenai isu penting itu kerana akan menentukan nasib masa depan ekonomi negeri ini dan rakyatnya serta menyeru semua rakyat Sarawak untuk menyokong penuh dibelakang kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi mempertahankan dan memperjuangkan hak Sarawak terhadap sumber minyak dan gasnya.
“Ketika Sarawak mesti dan perlu berbaik dan bersahabat dengan kerajaan pusat dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk juga Petronas, Sarawak mesti tidak membenarkan atau terus membiarkan sebarang pihak atau kumpulan untuk menafikan hak Sarawak terhadap sumber minyak dan gasnya,” katanya.
Ini kerana menurutnya melalui PDA, sejak 1974, kerajaan pusat melalui Petronas telah mendapat ratusan bilion ringgit dari mengeksploitasi sumber minyak dan gas dari Sarawak. — DayakDaily