Nyawa 14 orang nyaris melayang, Toyota Hilux terbalik

Kelihatan sebuah Toyota Hilux yang dinaiki 14 orang dalam keadaan terbalik.

BETONG, Jun 7: Seramai 14 penumpang termasuk seorang pemandu Toyota Hilux nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik di Jalan Betong-Sri Aman di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi itu, kesemua 14 mangsa selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 11.08 pagi.


Jelasnya, sebaik menerima laporan kemalangan tersebut, sepasukan enam anggota bomba diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila sampai, pasukan bomba mendapati sebuah Toyota Hilux berwarna putih dalam keadaan terbalik di tepi jalan raya berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua 14 penumpang termasuk pemandu kenderaan tersebut telah berjaya keluar dari Toyota Hilux itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Henry menambah, anggota bomba kemudian bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan ringan.

Katanya, mereka kemudian dibawa ke Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.43 pagi selepas memastikan keadaan di tempat kemalangan terkawal,” ujarnya. — DayakDaily