PBDSB mahu sistem pencen Adun, MP dikaji semula sebelum dilakukan untuk penjawat awam

William Mangor

KUCHING, Sept 8: Sistem pemberian pencen kepada Ahli Dewan Undangan (Adun) dan Ahli Parlimen (MP) perlu dirombak semula sebelum melakukannya kepada kakitangan awam.

Ketua Komunikasi Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) William Mangor menyeru agar Adun dan MP yang berkhidmat untuk sepenggal sepatutnya dibayar pencen untuk tempoh yang sama sekiranya tewas di pilihanraya umum seterusnya.

“Ini bagi mengelakkan kedudukan Adun dan MP menjadi lesen untuk menjadi kaya dengan cepat,” kata William dalam stau kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, langkah ini dapat membantu Adun dan MP berkhidmat dengan lebih baik kerana bukan lagi dimotivasikan oleh kuasa dan kedudukan.

“Pencen sepatutnya mengikut tempoh perkhidmatan dan bukannya sehingga akhir hayat,” ujar beliau.

“Penjawat awam pula berkhidmat sehingga tarikh perkhidmatan sudah berakhir dan menerima pencen yang bersesuaian.”

PBDSB memberikan pandangan ini susulan kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dolah yang menjelaskan bahawa kerajaan dapat menjimatkan beban kewangan sehingga RM5 bilion setahun jika penjawat awam baharu dilantik secara tidak tetap (tidak berpencen atau kontrak) pada masa akan datang.

Borhan dilaporkan berkata buat masa ini, kerajaan menanggung beban sehingga RM28 bilion setahun bagi bayaran pencen kepada pesara kerajaan. — DayakDaily