PBDS: Pasar Minggu Lutong sepatutnya dibuka lebih awal

Bobby William
Advertisement

KUCHING, 27 Julai: Pasar Minggu Lutong sepatutnya dibuka lebih awal, bukannya menunggu sehingga kekecohan berlaku, kata Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS).

Menurut Presidennya Bobby William, keputusan Datuk Bandar Miri Adam Yii mengumumkan pembukaan semula pasar tersebut lebih kepada untuk “menyembunyikan kesilapan” Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Datuk Bandar Miri hanya cuba menyembunyikan kesilapan mereka dengan segera mengumumkan pembukaan tapak perniagaan untuk mengaburi mata semua pihak sebagai jalan penyelesaian .

Advertisement

“Sekiranya pihak Majlis jujur dengan pihak penjaja, soalannya ialah kenapa tapak perniagaan tersebut tidak dibuka sebelum kekecohan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pagi Ahad lepas, rakaman video anggota penguatkuasa MBM yang merampas payung penjaja, sayur-sayuran, buah-buahan serta produk lain tular dan mengundang kemarahan orang ramai.

Tambah Bobby, PBDS tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi biarlah seluruh masyarakat melihat sendiri rakaman video yang diviralkan di media sosial.

Katanya, kejadian serupa diharap tidak berulang pada masa hadapan kerana masalah yang melibatkan masyarakat penjaja dapat diselesaikan dengan cara yang berhemah bukan dengan kekasaran.

“Pihak majlis hendaklah membayar ganti rugi dan bantuan pengurusan lesen kepada para penjaja yang terjejas.

“Selain itu, pihak majlis juga hendaklah sentiasa mesra masyarakat dan mesra pelanggan dalam apa jua tindakan pada masa akan datang,” katanya lagi.

Semalam, Adam bersama ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting datang berjumpa dengan para penjaja dan membenarkan mereka berniaga di pasar itu mulai Ahad ini.

Perjumpaan itu adalah susulan operasi penguatkuasaan terhadap penjaja yang berjaja di di tempat letak kereta, laluan kaki lima dan tempat terbuka di luar Tamu Lutong. — DayakDaily

Advertisement