PBDS gesa kerajaan tempatkan pengawal keselamatan di setiap pengkalan feri

Bobby William
Advertisement

KUCHING, 3 Jan: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) gesa kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk menempatkan pegawai keselamatan di setiap pengkalan feri di negeri ini.

Presidennya Bobby William berkata, perkara ini mustahak dan tragedi Feri Triso yang berlaku pada Jumaat lepas perlu diambil sebagai pengajaran.

“Pegawai keselamatan adalah individu yang bertauliah mengawal selia keselamatan dan kesihatan keadaan persekitaraan.

Advertisement

“Dan adalah amat penting Jabatan Kerja Raya Negeri serta Lembaga Sungai Sungai Sarawak melaksanakan perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Berhubung bagaimana dan bila ia dilaksanakan, Bobby menambah ia adalah tanggungjawab kerajaan dan agensi pelaksana.

Katanya, tugas mereka juga adalah untuk memastikan keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Jelas Bobby lagi, kerajaan juga perlu melaksanakan pemeriksaan berjadual terhadap setiap pengusaha feri.

“Adakah setiap pengusaha menitikberatkan aspek keselamatan seperti penyediaan jaket keselamatan, alat pemadam api dan pematuhan undang-undang maritim,” ujar beliau.

Pada insiden yang berlaku di pengkalan Feri Triso, Sebuyau pada Jumaat lepas, sembilan orang termasuk seorang bayi berusia 4 bulan terkorban setelah kenderaan pikap yang dinaiki mereka terjunam ke sungai. — DayakDaily

Advertisement