PBDS bantah RUU Kanun Tanah Sarawak

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru logo

KUCHING, Julai 13: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) menyatakan bantahan parti berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) yang telah dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Wanita PBDSB, Sylvia John berkata, Pemakai Menua dan Pulau Galau (PMPG) sepatutnya tidak dihadkan kepada 1,000 hektar sahaja.

Katanya, ianya harus merangkumi secara keseluruhan mengikut peradaban sempadan yang telah ditetapkan oleh nenek moyang dan sempadan yang disahkan oleh kampung yang bersempadanan.


“Kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) harus mengadaptasikan sistem tanah kaum Maori, New Zealand iaitu menghormati sepenuhnya hak kaum orang asal dalam hak tanah mereka

“Undang-Undang Kanun Tanah yang diluluskan menguatkan lagi Seksyen 28 dan Seksyen 6 di mana ‘Provisional Lease’ (PL) masih lagi berleluasa dan kerajaan negeri Sarawak berkuasa memberikan PL berkenaan kepada syarikat tempatan atau syarikat luar yang besar tanpa kebenaran masyarakat orang asal terutamanya masyarakat Dayak,” tegas Sylvia dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Sylvia lagi, perlunya Mahkamah Adat Dayak untuk membicarakan kes Tanah Hak Adat Dayak Sarawak dan mahkamah itu haruslah setaraf dengan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah untuk menjaga hak Dayak.

Manakala katanya, kepentingan masyarakat Melayu dan juga orang Islam dijaga oleh Mahkamah Syariah.

“Menyatakan semula Seksyen 5 (2) (f) dalam Kanun Tanah Sarawak “any lawful method” juga adalah memberikan hak ekslusif terhadap PMPG.

“Kenapa kerajaan GPS menyukarkan keadaan? Dasar baru yang diperkenalkan ini diragui kerana dilihat untuk memudahkan pihak tertentu menyalahgunakannya dengan sewenang-wenangnya merampas hak tanah yang dimiliki oleh orang asal iaitu kaum Dayak khususnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sylvia juga meragui tindakan ADUN Ba’Kelalan Baru Bian dan ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen yang juga sepatutnya menghadiri sidang DUN kali ini dilihat seolah-olah mengambil kesempatan ditengah-tengah ketegangan yang berlaku, disaat RUU tanah itu dibentangkan, walaupun mereka berdua diberi kebenaran untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Sylvia juga memberi kata positif terhadap pembentukan perikatan Sarawak Baru yang bakal terdiri daripada PBDSB, Sarawak Reform Party (Star), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), United People’s Party (UPP), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan parti tempatan yang lain.

“Perkara berkenaan menguatkan lagi perjuangan Sarawak di mana satu suara dalam menuntut hak Sarawak daripada kerajaan PH (Pakatan Harapan) Malaya sepertimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan kerajaan PH di bawah Tun Mahathir Mohammad yang berjanji akan melaksanakannya.

“Kita harus bersatu demi Sarawak dan menolak GPS (dulu dikenali sebagai BN Sarawak) yang banyak menyusahkan rakyat.” — DayakDaily