Niat jahat kaut untung besar jual dadah terbantut

Royal Malaysia Police logo

LIMBANG, Julai 13: Niat jahat seorang penganggur untuk mengaut keuntungan besar dengan menjual dadah akhirnya terbantut apabila lelaki itu ditahan polis.

Lelaki yang berusia 31 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis di sebuah rumah di Kampung Nauran di sini.

Menurut jurucakap polis, suspek ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum itu.


Katanya, serbuan yang dilakukan berjaya menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 38.5 gram yang disorokkan dalam kusyen kerusi di rumah tersebut.

“Polis kemudian merampas dadah berkenaan untuk siasatan lanjut sebelum menahan suspek terbabit.

“Nilai semasa dadah jenis syabu yang dirampas itu dianggarkan sebanyak RM3,000,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang, Mohd Bukhori Saffai mengesahkan penahanan suspek dan rampasan dadah berkenaan.

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. — DayakDaily