KUCHING, Jun 28: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan sahaja perlu mempertahankan hak negeri ini terhadap sumber minyak dan gasnya malahan juga kuasa politik negeri ini daripada dirampas parti politik dari Semenanjung.
Penganalisa politik dan bekas pengerusi jawatankuasa publisiti PBB Dato Peter Minos berkata demikian berikutan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu salah satu parti dalam Pakatan Harapan sedang mempertimbangkan untuk melebarkan pengaruh parti terbabit ke Sarawak bagi menambah keahliannya.
“Tidak berpuas hati dengan sudah mengawal sumber minyak dan gas Sarawak melalui Petronas, sekarang parti baru, Bersatu (PPBM) telah meluahkan hasrat untuk memasuki Sarawak. Ini sudah pasti mensasarkan kuasa politik Sarawak,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Peter berkata adalah agak ketara sekiranya PPBM memasuki negeri ini, mereka akan menganggu dan mensasarkan PBB terutamanya ahli Melayu dan Melanau yang ramai dalam PBB dan sehubungan itu PBB tidak akan membenarkan dirinya dihapuskan.
“PBB akan berdiri dan melawan bagi mempertahankan Sarawak dan rakyatnya, seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini bagi mengagalkan usaha Umno dari memasuki Sarawak,”katanya.
Selain itu, PBB juga perlu meneraju usaha mendapatkan kembali hak negeri ini dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mendapatkan kembali sumber minyak dan gas negeri ini yang dilakukan bersama rakan politiknya iaitu Parti Rakyat Besatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Ini adalah salah satu langkah yang amat berani dan akan amat bernilai kepada semua anak Sarawak,” katanya. — DayakDaily