Perodua Alza hilang kawalan rempuh motosikal, seorang lelaki maut

Kelihatan keadaan kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan motosikal di Jalan Residen, Off KM1 Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Jun 28: Gara-gara sebuah Perodua Alza hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan, seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar kenderaan itu di Jalan Residen, Off KM1 Kota Samarahan di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Azhar Medhi, 38, dari Kampung Pangkalan Kuap meninggal dunia serta merta di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, Perodua Alza yang dipandu wanita berusia 26 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Datuk Musa dari arah feri di sini.


Jelasnya, apabila tiba di lokasi kemalangan yang berselekoh, Perodua Alza yang dipandu wanita dari Kampung Sindang itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

“Impak rempuhan itu telah menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah.

“Perodua Alza yang dipandu wanita berkenaan pula merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, siasatan mendapati keadaan jalan raya adalah basah semasa kejadian ekoran hujan.

Ujarnya, pegawai penyiasat trafik dari IPD Kota Samarahan telah mengambil keterangan daripada wanita tersebut bagi membantu siasatan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily