Oleh Chris Bishop
KUCHING, 2 Mac: Keluarga yang tinggal di kawasan kerap banjir diminta untuk mematuhi arahan berpindah, tegas Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dengan keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini, Uggah berkata, ia adalah untuk memastikan keselamatan setiap penduduk.
“Yang penting tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Serbaguna Taman Malihah hari ini.
Setakat ini ujar Uggah, pusat tersebut menempatkan sebanyak 156 keluarga dengan jumlah 680 orang.
Hujan lebat berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di Kuching dilanda banjir awal pagi tadi.
Sementara itu, Uggah memaklumkam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kini bersiapsedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, agensi penyelamat termasuk pembekal keperluan sudah sedia sepenuhnya. — DayakDaily