Pasukan tentera 4 KAD gagalkan cubaan seludup keluar kenderaan curi

Anggota tentera menahan seorang lelaki yang disyaki cuba menyeludup keluar kenderaan curi.

BAU, Sept 30: Pasukan tentera dari Rejimen ke-4 Kor Armor Diraja (4 KAD) berjaya mengagalkan cubaan membawa keluar sebuah kenderaan curi jenis Toyota Prado di kawasan sempadan Serikin-Kalimantan Barat di sini.

Dalam operasi kira-kira pukul 7.05 pagi itu semalam, pasukan tentera turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menerima upah dari sindiket mencuri kenderaan berkenaan.

Pegawai Memerintah 4 KAD, Leftenan Kolonel Shamzaini Misran berkata, pasukannya telah menerima maklumat dari pihak polis sehari sebelum tangkapan tersebut dibuat bahawa terdapat sebuah Toyota Prado telah dilaporkan hilang.

Katanya, berdasarkan maklumat tersebut, pasukan tentera telah membuat rondaan berkenderaan ke laluan yang sering digunakan penyeludup untuk membawa keluar kenderaan dan barangan ke sempadan.

“Hasil rondaan itu, pasukan tentera telah berjaya mengesan pergerakan sebuah Toyota Prado dalam keadaan yang mencurigakan.

“Anggota tentera kemudian menahan kenderaan tersebut sebelum melakukan pemeriksaan dan mendapati Toyota Prado itu merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang,” katanya di sini hari ini.

Shamzaini menambah, pasukan tentera kemudian menahan lelaki tempatan tersebut untuk tindakan selanjutnya

Katanya, dalam tangkapan sama, pasukan tentera turut merampas wang tunai sebanyak RM10,000 serta peralatan menghisap dadah.

“Kenderaan tersebut bersama suspek serta barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakkan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily