PPM Sarawak patah cubaan seludup minyak ‘light fuel’

Anggota PPM melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori.
Advertisement

SARIKEI, Sept 30: Cubaan satu sindiket penyeludupan minyak ‘light fuel’ berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Sarawak di Jalan Sibu-Bintangor semalam.

Serbuan kira-kira pukul 10.35 malam itu berjaya merampas kira-kira 6,000 liter yang dibawa dengan sebuah lori.

Komander PPM Sarawak, ACP Salehuddin Mat Zaman berkata, kejayaan Op Landai tersebut merupakan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan sebelum itu.

Advertisement

Jelasnya, sebelum penahanan lori jenis lima tan itu, sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan operasi telah mengesan pergerakan kenderaan terbabit dalam keadaan yang mencurigakan.

“Selepas itu, anggota PPM menahan pemandu serta kelindan lori berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut membawa muatan 6,000 liter ‘light fuel oil’ tanpa dokumen yang sah,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salehuddin memberitahu, selepas gagal menunjukkan dokumen sah, anggota PPM kemudian menahan pemandu serta kelindan lori berkenaan.

Katanya, mereka turut menyita lori serta muatan minyak tersebut untuk siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan lori dan minyak itu dianggarkan sebanyak RM151,800.

“Laporan polis berhubung tangkapan itu juga telah dibuat di Balai Polis Sarikei,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement