Pasukan sepak takraw wanita Sarawak cipta kejutan, muncul naib johan

Pasukan Sepak Takraw Wanita Sarawak bersama pingat dan piala yang dimenangi.

KUCHING, Mei 15: Pasukan sepak takraw wanita Sarawak mencipta kejutan apabila berjaya dinobatkan sebagai naib johan bagi Kategori Regu dan Kuadrant di Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Kebangsaan ‘Road To Sukma’ anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia.

Kejohanan yang berlangsung pada Mei 11 hingga 13 lalu di kompleks Sukan Paroi Negeri Sembilan merupakan kejohanan yang amat penting bagi membolehkan pasukan Sarawak menyertai temasya Sukma Perak pada September depan.

Sarawak yang diwakili Suziana Mothar, Catherine Minah Langan, Priscella Baby Kueh, Sharifah Fifi Nurdyana Wan Muhamat Abd Rahim dan Nur Asmida Rambli beraksi cemerlang pada peringkat kumpulan lagi.

Pada perlawanan akhir acara regu, Sarawak telah bertemu dengan pasukan Sabah manakala kategori Kuadrant pula, Sarawak bertemu dengan Terengganu.

Pengurus pasukan merangkap setiausaha agung Persatuan Sepak Takraw Sarawak, Hasweera Hassan berkata persediaan yang telah dibuat sejak Mac lalu dijangka mampu merealisasikan impian Sarawak untuk menempah tiket kejayaan dengan sasaran pingat emas pada kejohanan itu nanti.

Latihan ini akan diteruskan sehingga ke termasya Sukma Perak.

Selain menjalani latihan intensif, pasukan ini juga akan mengikuti pertandingan pendedahan di dalam dan luar negara.

Hasweera optimis pasukan ini berpotensi untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang.

Pasukan ini dilatih oleh jurulatih Thailand Sura Matwasaeng dan dibantu oleh Fitri Ramzee Ramlee.

Menurut Hasweera lagi, pertandingan dijangka diadakan di Thailand pada bulan Julai akan datang.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak yang banyak membantu dari segi kewangan dan peralatan. — DayakDaily