Pasukan Ragbi Kuching juara Piala Presiden 2018

Pemain ragbi Kuching meraikan kejayaan mereka memenangi Piala Presiden 2018.

KUCHING, Sept 24: Pasukan Ragbi Bahagian Kuching berjaya menamatkan penantian selama 25 tahun untuk muncul juara selepas mengalahkan pasukan Sibu dalam Kejohanan Ragbi 15s Piala Presiden 2018 yang diadakan di Padang Ragbi Song Kheng Hai di sini, semalam.

Pada perlawanan akhir itu, pasukan Kuching berjaya mengatasi pasukan Sibu menerusi masa penentuan dengan keputusan 12-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 5-5 sehingga tamat masa perlawanan.

Masa perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa penentuan bagi menentukan juara.

Kedua-dua pasukan bermain dengan baik apabila berjaya melancarkan serangan menarik dan berjaya bertahan sehingga masa perlawanan tamat.

Sementara itu, pasukan Miri berjaya menduduki tempat ketiga selepas berjaya mengenepikan cabaran pasukan Betong menerusi keputusan 55-12.

Juara kejohanan menerima piala, piala pusingan dan medal, diikuti naib juara menerima piala dan medal, dan tempat ketiga menerima pingat.

Hadiah telah disampaikan oleh Penaung Persatuan Ragbi Bahagian Kuching (KDFC) Dr Hazland Abang Hipni.

Dr Hazland (dua dari kiri) menyampaikan piala kepada kapten pasukan ragbi Kuching.

Turut sama hadir Presiden Kesatuan Ragbi Sarawak (SRU) Richard Song Swee Jin dan Presiden Kuching Rugby Football Club (KFRC) Yusof Shah.

Terdahulu, Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut telah menyampaikan cek berjumlah RM20,000 kepada Setiausaha KDFC Azfar Zubri Safri yang mewakili Presiden KDFC Azizul Adenan.

Kejohanan ini merupakan anjuran tahunan yang tertua diadakan di Sarawak.

Sebelum ini, Kesatuan Ragbi Sarawak (SRU) telah meneruskan kembali kejohanan ini pada tahun 2017 selepas tidak dianjurkan selama empat tahun lalu iaitu kali terakhir diadakan pada tahun 2013.

Penganjuran Kejohanan Ragbi 15s Piala Presiden yang diadakan di Padang Ragbi Song Kheng Hai ini bukan sahaja menghidupkan kembali sukan ragbi di Sarawak, tetapi juga mencungkil bakat baharu selain memupuk perpaduan di dalam kalangan pemain-pemain ragbi di negeri ini. — DayakDaily