Belum ada rancangan wajibkan pendaki ambil kursus asas ‘survival’, kata Abdul Karim

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, Sept 24: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak tiada rancangan untuk mewajibkan para pendaki bebas mengambil kelas asas ‘survival’ apabila mereka berdepan masalah semasa melakukan aktiviti pendakian.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini tiada lagi keperluan untuk kumpulan pendaki atau individu yang minat dengan aktiviti pendakian agar mengikuti kelas asas ‘survival’.

Jelasnya, meskipun kes melibatkan pendaki dilaporkan hilang agak membimbangkan, namun belum ada kewajipan bagi mendapatkan kelas seumpamanya.


“Para pendaki mesti buat perancangan atau kajian sebelum mereka mendaki gunung atau hutan yang hendak diterokai mereka.

“Paling utama ialah, jangan pergi bersendirian dan jika pergi mendaki secara berkumpulan mereka perlu tidak berpecah,” katanya sebagai mengulas kejadian yang menimpa Stanley Kho, 22, yang ditemui selamat selepas tujuh hari dilaporkan hilang semasa mendaki Gunung Singai di Bau pada Sept 17 lepas.

DayakDaily sebelum ini melaporkan misteri kehilangan seorang lelaki selepas dilaporkan hilang di Gunung Singai di sini terungkai apabila dia ditemui selamat di kawasan gunung berkenaan, semalam.

Mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 8.40 pagi dan jarak mangsa ditemui hanya kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) di situ.

Sebelum itu pada pukul 8.10 pagi penduduk kampung terdengar mangsa menjerit meminta tolong dan pasukan SAR dimaklumkan mengenai petunjuk positif berkenaan. Namun, laluan dari PKB ke lokasi mangsa ditemui memerlukan pasukan SAR mendaki dengan kecuraman 80 darjah.

Semasa ditemui, mangsa dijumpai dalam keadaan lemah sebelum pasukan SAR memberikan makanan dan minuman kepada mangsa. ā€” DayakDaily