Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam kurangkan kesesakan di hospital kerajaan

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 28 Feb: Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (Star) untuk menerajui inisiatif mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, antara cadangan penambahbaikan ialah Pelaksanaan Segera bagi tempoh kurang dari 1 bulan.

“Ini melibatkan pelanjutan waktu operasi klinik kesihatan awam dari pukul 8.00 malam sehingga 12.00 tengah malam di kawasan berdekatan hospital awam yang dikenal pasti dalam kategori sangat sesak, menghantar kes-kes zon hijau ke klinik kesihatan awam ketika waktu puncak di jabatan kecemasan, dan mendapatkan khidmat pengamal perubatan dari sektor swasta untuk menampung keperluan tenaga manusia semasa pemanjangan tempoh operasi klinik kesihatan awam,” katanya di Persidangan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.


Tambah Fadillah, bagi Pelaksanaan Jangka Pendek iaitu bagi tempoh 2ā€“4 bulan, semua pesakit rawatan luar akan dikendalikan oleh klinik kesihatan awam dan klinik kesihatan swasta yang telah dipilih oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, surat rujukan dari klinik kesihatan awam dan swasta akan dikeluarkan kepada pesakit luar untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sekiranya pesakit dalam kategori kritikal.

“Bayaran balik caj perubatan yang dikenakan oleh klinik kesihatan swasta yang dipilih akan disediakan oleh kerajaan kepada pesakit daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan bawahan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata Pelaksanaan Jangka Sederhana adalah bagi tempoh 5ā€“8 bulan, manakala Pelaksanaan Jangka Panjang adalah bagi tempoh 9 bulan. ā€” DayakDaily