Pasukan bomba tangkap ular tedung yang bersembunyi di belakang mesin basuh

Pasukan bomba menunjukkan seekor ular tedung yang berjaya ditangkap.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

MARUDI, Mei 28: Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila seekor ular tedung masuk ke kediaman mereka di Kampung Cina di sini hari ini.

Panik dengan kehadiran reptilia tersebut, ahli keluarga tersebut kemudian menghubungi pihak bomba untuk menangkap ular tedung berkenaan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular tedung berkenaan pada pukul 10.50 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Marudi kemudian bergegas ke rumah pengadu kampung yang terletak kira-kira 2 kilometer dari balai bomba.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati ular tedung sepanjang kira-kira 1 meter itu bersembunyi di belakang mesin basuh lama di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak menangkap ular tedung itu menggunakan alat penjerut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba mengambil masa kurang daripada lima minit untuk menangkap reptilia berbisa itu.

Katanya, ular berkenaan kemudian dimasukkan dalam guni sebelum dilepaskan ke kawasan hutan.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes berkenaan,” katanya. — DayakDaily