Pasukan bomba kesan kedudukan Toyota Hilux, mangsa masih gagal ditemui

Anggota bomba melakukan operasi SAR mangsa di Pangkalan Feri Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Mei 16: Pasukan Penyelam Dalam Air (PPDA) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak hari ini
berjaya mengesan kedudukan kenderaan mangsa yang dilaporkan hilang selepas sebuah Toyota Hilux miliknya terhumban masuk ke dalam Sungai Samarahan pada Ahad lalu.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, hasil operasi selaman unit PPDA juga telah menemui bekas makanan milik mangsa yang disahkan oleh anaknya.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja menyelam oleh PPDA dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan sementara atas faktor keselamatan disebabkan arus yang deras.


“Proses penyelaman hanya dilakukan dengan mengambil kira faktor arus yang perlahan ketika peralihan tempoh pasang surut sungai. Operasi yang memasuki hari ketiga masih belum menemui mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan, pihak bomba belum menemui petunjuk positif.

Pasukan SAR ada mengesan tompokan minyak dipercayai dari Toyota Hilux di beberapa lokasi di permukaan sungai di situ.

Anggota PPDA akan melakukan penyelaman apabila kedudukan kenderaan pacuan empat roda tersebut dikenalpasti.

Pihak bomba percaya mangsa masih terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Bernabas Lias Jalal, 77, dilaporkan hilang selepas tenggelam bersama Toyota Hilux yang dipandunya.

Sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar dari kenderaan pacuan empat roda itu semasa berada di atas feri tersebut. — DayakDaily