Ular telan sembilan ekor ayam ditangkap

Kelihatan ular sawa yang menelan sembilan ekor ayam peliharaan.

BINTANGOR, Mei 16: Pasukan bomba berjaya menangkap seekor ular sawa yang kekenyangan selepas membaham beberapa ekor ayam peliharaan dalam satu kejadian di Jalan Abang Ali di sini hari ini.

Reptilia sepanjang kira-kira 3 meter itu berjaya ditangkap kira-kira 10 pagi.

Sebelum itu, pemilik ayam peliharaan tersebut menyedari kehadiran ular sawa batik berkenaan semasa dia hendak memberi makanan kepada ayam-ayam peliharaannya.


Lelaki yang enggan dikenali berkata, sebaik membuka reban ayam, dia terkejut apabila mendapati seekor ular sawa sedang menelan ayam peliharaannya.

Katanya, panik melihat situasi itu, dia kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.

“Hasil penelitian, saya mendapati sembilan ekor ayam peliharaan telah mati ditelan reptilia itu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, pasukan bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap ular sawa tersebut.

Ular seberat kira-kira 20 kilogram itu ditangkap dengan menggunakan alat penjerut. — DayakDaily