KUCHING, 26 Jun: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak akan menganjurkan kembali pasar minggu Medan Niaga Satok di sini dan sembilan pasar tani di seluruh negeri ini bermula esok.
“Kerajaan kini sudah memberi kelonggaran bagi pasar tani dan pasar minggu boleh dibuka. Jadi kita mengambil keputusan untuk membuka semula pasar minggu di kawasan berbumbung di sini (Medan Niaga Satok) mulai esok hari,” kata Pengarah FAMA Sarawak Datuk Dr Mat Sani Hassan ketika sidang media di ibupejabat FAMA Sarawak di Medan Niaga Satok, Petra Jaya, hari ini.
Sani berkata pasar minggu terbabit akan dibuka kepada orang ramai mulai jam 7 pagi sehingga 6 petang esok dan ada jalan masuk ke Medan Niaga Satok akan ditutup bagi lalulintas kenderaan.
Selain itu, pihaknya akan melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dengan menyediakan empat tempat pemeriksaan suhu badan bagi pengunjung pasar minggu terbabit dengan mereka juga perlu memakai topeng, diberikan sanitizer tangan dan direkodkan maklumat.
“Kita juga sudah membuat persediaan (penganjuran pasar minggu Medan Niaga Satok) seperti tapak berniaga dijarakkan satu atau dua meter dan meletakkan penghalang supaya pengunjung dan peniaga ada penjarakkan sosial,” katanya.
Sebelum ini seramai 584 peniaga menjual hasil tani dan hasil hutan di pasar minggu itu yang dianjurkan pihaknya setiap Sabtu dan Ahad dan kini hampir 80 peratus peniaga terbabit sudah bersedia kembali berniaga mulai esok.
Katanya ini kerana ramai peniaga terbabit kerap menghubungi pihaknya bertanyakan penganjuran semula pasar minggu itu setelah mereka sudah tiga bulan tidak berniaga bagi mencari pendapatan.
“Kita juga menjangkakan akan berlaku kesesakkan di Medan Niaga Satok esok kerana sebelum ini antara 7,000 hingga 8,000 orang akan mengunjungi pasar minggu di sini setiap Sabtu dan Ahad,” katanya.
Disamping itu, pihaknya juga akan menganjurkan sebanyak sembilan pasar tani di seluruh negeri ini mulai esok dari jam 7 pagi sehingga 6 petang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sama penganjuran pasar minggu Medan Niaga Satok.
Sani berkata sebelum Covid-19, ada keseluruhannya sebanyak 36 pasar tani anjuran FAMA Sarawak setiap Sabtu dan Ahad membabitkan seramai 1,185 peniaga dan akan menganjur semula pasar tani yang lain selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.—DayakDaily