Pasangan kekasih ditangkap bawa dadah di Bau

Kedua-dua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU,7 Julai: Sepasang kekasih ditangkap selepas didapati memiliki dadah jenis syabu semasa diperiksa di sekatan jalan raya Kampung Daun, Singai di sini semalam.

Difahamkan suspek lelaki berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Kandis Baru, Bau dan suspek wanita berusia 24 tahun dari Kampung Gran Stumbin, Sri Aman.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek menaiki sebuah kereta dan ditahan untuk pemeriksaan pada jam 12.08 tengah malam.


“Kedua-dua suspek diarah turun dari kenderaan berkenaan dan pemeriksaan terhadap suspek lelaki telah menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi ketulan Kristal putih disyaki dadah berbahaya jenis syabu berat kasar 1.02gram,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabit dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari 5 tahun atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily