PAS Sarawak sokong kaedah ‘hibrid’, permudah penduduk luar bandar terima vaksin

Zharudin Narudin

KUCHING, 12 Jun: PAS Sarawak menyifatkan usaha kerajaan negeri untuk memperkenalkan kaedah ‘hibrid’ adalah langkah terbaik bagi penduduk luar bandar mendapatkan suntikan vaksin tanpa perlu mendaftar di ‘MySejahtera’ terlebih dahulu.

Ketua Penerangannya Zharudin Narudin berkata, usaha bersepadu antara pemimpin suku kaum dan masyarakat luar bandar serta penyelarasan oleh pejabat ADUN harus bersama dalam usaha ini.

“Dengan kerjasama agresif dari semua pihak, diharapkan masyarakat di negeri ini terus dilindungi dan usaha untuk membendung dan mengawal penyebaran wabak ini dapat dilakukan.


“Keutamaan kerajaan negeri sekarang adalah menyelamatkan nyawa rakyat Sarawak dan tumpuan sepenuhnya mesti diberikan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu tambah Zharudin, PAS Sarawak juga mencadangkan pusat vaksinasi secara ‘pandu lalu’ untuk kawasan perumahan di bandar yang jumlah penduduknya ramai.

Katanya, PAS sendiri telah memulakan usaha ini dengan memberikan perkhidmatan pengangkutan percuma terutama di kawasan Samariang baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, PAS Sarawak menyokong usaha kerajaan negeri dalam memberikan perlindungan kepada rakyat negeri ini melalui tindakan vaksinasi secara agresif.

“Kini 80 peratus daripada 2.81 juta rakyat Sarawak iaitu seramai 2.2 juta akan menerimanya sebelum akhir Ogos tahun ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu Zharudin mohon agar kerajaan Sarawak mempertimbangkan pertolongan kepada mereka yang terkena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bukan sahaja dari kumpulan B40 tetapi juga M40 yang turut terjejas dan kehilangan punca pendapatan mereka.

Menurut beliau, usaha untuk mempermudahkan permohonan bantuan harus dilaksanakan seperti permohonan melalui pejabat Residen atau wakil rakyat di setiap kawasan agar mereka yang terlibat mendapat bantuan yang sewajarnya tanpa keciciran. — DayakDaily