PAS Sarawak mengadakan majlis berbuka puasa untuk para media

Duduk dari kiri: Zulkifli, Hadi, Arif and Ariq (berdiri kiri) dengan sebahagian pihak media yang hadir.

KUCHING, Jun 3: PAS Sarawak telah mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan para krew media semalam di sebuah restoran di Icomm Square Kuching.

Majlis ini di hadiri oleh wartawan dan editor dari Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua Daily, Sin Chew Daily, RTM dan DayakDaily. Seramai lebih 15 orang pengamal media hadir sama dalam majlis yang berlangsung selama dua jam ini.

Wakil dari PAS yang hadir termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Zulkifli Ramzi, Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Hadi Amat, Ketua Dewan Pemuda PAS Sarawak Arif Paijo dan Ketua Penerangan PAS Sarawak Muhammad Afiq.


Menurut satu kenyataan media, majlis yang diadakan kali kedua ini bertujuan meraikan pengamal media Sarawak yang telah bertungkus lumus bertugas dalam PRU14 yang lalu dan juga sebagai “engagement” PAS yang mesra media.

Hadi dalam sesi perbualan nya menegaskan bahawa PAS tetap akan meneruskan perjuangan nya dalam membawa agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) berteraskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), iaitu budaya yang bersandarkan pada politik solusi dan politik fakta dan hujah.

PAS Sarawak menggesa supaya kerajaan persekutuan bersungguh menunaikan hasrat rakyat Sarawak yang mahukan konsep federalisme di tunaikan sepenuhnya. Dalam ucapannya, Muhammad Afiq menggesa supaya kerajaan persekutuan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membangunkan pendidikan di semua peringkat dan infrastruktur asas termasuk bekalan air dan elektrik ke seluruh Sarawak. Beliau juga berharap media akan lebih terbuka dalam memberi ruang kepada PAS bersuara dan memberi pandangan.

Ketua Pemuda PAS Sarawak Arif menganjurkan supaya semua parti politik berhenti bermain politik berasas tohmahan dan kebencian. Beliau yang juga AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan ayuh kita bersama membina Malaysia demi kebaikan rakyat. — DayakDaily