Lelaki hilang empat jari selepas tersepit dalam mesin pengisar daging

Kelihatan anggota bomba berusaha mengeluarkan jari mangsa yang tersepit.

MIRI, Jun 3: Malang tidak berbau apabila seorang lelaki kehilangan empat jarinya selepas tersepit dalam sebuah mesin pengisar daging di sebuah kedai makan di Jalan Kenyalang, Piasau Utara di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.49 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang pengisar daging terpaksa menahan kesakitan lebih daripada 30 minit sebelum jarinya berjaya dikeluarkan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, Jimmy Suhaili berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.50 pagi.

Jelasnya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mengeluarkan jari mangsa.

“Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati empat jari mangsa masih tersepit dalam mesin pengisar itu

“Pasukan bomba kemudian berusaha dan berjaya meleraikan beberapa bahagian mesin itu, tetapi usaha untuk mengeluarkan jari mangsa masih sukar,” katanya di sini hari ini.

Jimmy menambah, lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.30 pagi,” ujarnya. — DayakDaily