Padah miliki dan edar dadah, polis cekup seorang lelaki

Dadah jenis syabu yang dirampas polis daripada suspek.

PADAWAN, Jun 3: Tindakan seorang lelaki terlibat dalam aktiviti mengedar dadah akhirnya memakan diri apabila dia ditahan dalam satu serbuan di Jalan Penrissen-Stakan di sini, semalam.

Suspek berusia 43 tahun itu diberkas di sebuah rumah kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, serbuan serta tangkapan itu dilakukan susulan hasil maklumat awam serta risikan polis.


Katanya, hasil pemeriksaan polis menjumpai empat bungkusan plastik lutsinar dan satu sampul warna yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Rampasan dadah itu dianggarkan seberat 919.75 gram.

“Nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah antara RM180,000 ke RM185,000,” kata Aidil dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku dadah itu adalah miliknya.

Dakwa suspek ujarnya, dia membeli dadah daripada pembekal tempatan dan mengaku terlibat dengan pengambilan dadah sejak lima tahun lalu.

“Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. ā€” DayakDaily