Parti SEDAR lebar sayap ke Sabah, Prof Dr Ariffin Willie Muhammad dipilih sebagai pengerusi protem

Othman (duduk tengah), Dr Ariffin (duduk dua dari kiri) bergambar bersama ahli-ahli Jawatankuasa Protem SEDAR Negeri Sabah.

KUCHING, 6 Okt: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) telah melebarkan sayapnya ke Sabah dengan Prof Dr Ariffin Willie Muhammad dipilih sebagai pengerusi protem negeri tersebut.

SEDAR merupakan parti politik tempatan Sarawak yang ditubuhkan pada Jun 2018 dan diasaskan oleh Dato Othman Abdillah sebagai presiden.

Menurut Othman, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 7 Ogos lalu telah meluluskan permohonan pindaan status parti kepada sebuah parti nasional.


Berikutan itu, satu mesyuarat penubuhan cawangan oleh ahli-ahli di Sabah telah diadakan pada 23 Sept lalu untuk mendaftarkan cawangan peringkat negeri itu.

Katanya, mesyuarat penubuhan itu telah memilih tujuh orang ahli selaku Jawatankuasa Protem Negeri Sabah di bawah pimpinan Prof Dr Ariffin Willie Muhammad sebagai pengerusi protem.

Juga dipilih ialah Bahri Bakri sebagai timbalan pengerusi protem manakala Julia Ongkili dipilih sebagai setiausaha protem.

Seramai empat orang lagi telah dipilih sebagai ahli jawatankuasa protem yang terdiri daripada Bonepes Been (bendahari protem), Jasni Badali, Nurul Faizah Ariffin dan Nilis Joseph.

“Dengan penubuhan cawangan Sabah, SEDAR akan memperkasakan kehadirannya dengan terlibat secara aktif bersama-sama masyarakat berbilang kaum di Sabah.

“Kami mengenali segala cabaran serta peluang yang khusus di Sabah, dan cawangan baharu kami ini akan bekerja tanpa jemu untuk menangani kebimbangan serta memenuhi keperluan rakyat negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Othman turut berkata SEDAR akan memperjuangkan matlamat utamanya ke arah merealisasikan hak rakyat untuk menerima dividen kewangan secara langsung daripada sumber asli negeri terutamanya hasil industri minyak dan gas.

Ini akan dilakukan melalui pelaksanaan dua skim terasnya, iaitu Dividen Asasi Rakyat (dividen bulanan kepada semua rakyat dewasa Sabah) dan Tabung Hak Ekuiti Rakyat yang merupakan tabung kekayaan sosial yang dimiliki oleh negeri dan rakyat sendiri.

“Dengan ini, kami menjemput semua rakyat Sabah yang sehaluan nilai dan aspirasi kami untuk menyertai Parti Sedar Rakyat. Dengan penyertaan itu, rakyat akan boleh mengambil bahagian secara aktif dalam membentuk masa depan diri yang lebih cerah untuk negeri Sabah,” jelasnya. — DayakDaily