KUCHING, 15 Jan: Tanggungjawab parti politik ialah menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat, kata Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing.
“Pada masa yang sama, ia untuk memberi inspirasi kepada parti-parti politik untuk menyemak sendiri dan menyesuaikan hala tuju politik mereka tepat pada masanya.
“Semuanya adalah untuk memupuk ‘jalan dua hala’ antara parti politik dan rakyat, dan membina dasar dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya sebagai memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata demikian di Majlis ‘A Nite With People 2024’ di Bintulu pada Sabtu lepas.
Sementara itu Tiong yang juga MP Bintulu memaklumkan bahawa rakyat Sarawak mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk memainkan peranan bagi menjaga keharmonian dan kestabilan sosial di negara ini.
“Tidak kira apa latar belakang etnik dan budaya, rakyat perlu bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain,” ujar Tiong. — DayakDaily