Oleh Juetila Ozzy
KUCHING, 24 Mac: Seorang wanita yang bekerja sebagai penjawat awam mengalami kerugian mencecah RM203,642 selepas diperdayakan dengan lamaran berkahwin oleh seorang kenalan media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Maria Rashid berkata mangsa yang berusia 33 tahun itu bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Miri dan telah berkenalan dengan seorang lelaki yang kononnya bekerja sebagai doktor di Hospital Cardiff Wales United Kingdom.
Jelasnya, mangsa mula berhubung dengan suspek dikenali sebagai ‘Mason Harrison Davis’ sejak 1 Jun tahun lepas.
“Mangsa kemudian dilamar untuk berkahwin dan suspek mengatakan akan berpindah ke Malaysia dengan turut memberitahu akan menghantar wang berjumlah RM828,812 melalui ‘Syarikat Transfast’.
“Pada 7 Julai 2020, mangsa dihubungi oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ejen dari “Syarikat Transfast” dan mengatakan mangsa perlu membuat pembayaran sebanyak RM200,000 untuk pelepasan wang yang dikirim kenalannya itu.
“Mangsa kemudian membuat 20 transaksi pemindahan wang keseluruhan RM203,642 ke 11 akaun bank atas nama individu tidak dikenali sejak 7 Julai 2020 hingga 17 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari diri ditipu setelah suspek masih meminta membuat bayaran tambahan.
“Mangsa seterusnya tampil membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.
Maria turut menasihatkan orang ramai agar menghubungi atau rujuk balai polis yang berhampiran jika was-was dengan sesuatu panggilan dari orang yang tidak dikenali yang meminta membuat apa-apa bayaran atau meminta memberikan maklumat peribadi dan maklumat perbankan.
“Sekiranya anggota masyarakat mempunyai apa-apa kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu, anda boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-211 1222,” katanya.
Layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid.rmp.gov.my) dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan (financial fraud) seumpamanya. -DayakDaily