Seorang disahkan terbunuh, dua lagi selamat di Gunung Tabai, Bau

Operasi mencari di lokasi kejadian.

Oleh Juetila Ozzy

BAU,24 Mac: Hanya seorang mangsa lelaki disahkan meninggal dunia akibat tertimbus batu bata dan tanah di dalam lubang di Gunung Tabai, Kampung Bidi, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata mangsa dikenali sebagi Mat Tapa berusia 26 tahun dan berasal dari Kampung Bijuray Monggag.


Poge memberitahu mangsa semasa kejadian bersama dua rakannya masuk ke dalam lubang tersebut dipercayai untuk mengali dan mencari emas.

“Siasatan di lokasi juga mendapati sebenarnya terdapat tiga mangsa yang dikenalpasti berada di lokasi kejadian.

“Maklumat awal mengatakan seorang telah tertimbus (mangsa) melalui pengecaman baju yang dipakai mangsa, manakala dua lagi berjaya keluar dari tempat tersebut dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menambah, operasi mengeluarkan mayat mangsa bagaimanapun ditanggunhkan pada jam 6 petang tadi dan akan disambung semula esok.

“Pasukan operasi ternampak tangan di percayai tangan manusia di dalam lubang di satu lokasi tetapi tidak dapat mengeluarkan kerana tertimbus oleh batu dan tanah,” katanya.

Laporan berhubung kehilangan mangsa dibuat oleh abang mangsa yang sekitar jam 8.22 pagi hari ini di Balai Polis Bau.

“Abangnya mula mencari mangsa, tetapi tidak dapat mengesan di kedudukannya sehingga diberitahu oleh orang kampung ada melihat mangsa di kawasan gunung tersebut.

“Abangnya bersama ahli keluarga yang. kaian ada mencari mangsa di kawasan gunung tersebut, tetapi gagal dan kemudian terus membuat laporan polis untuk bantuan,” katanya.

Difahamkan Gunung Tabai adalah kawasan larangan dan merupakan Taman Negara kerana disahkan mengandungi emas.

Jarak Gunung Tabai dengan Kampung Bijuray lebih kurang 4 kilometer. – DayakDaily